Noktah Sebuah Perjalanan
Ungkapan "SABAR" adalah perkataan yang mudah untuk dilafazkan tetapi sukar untuk dilakukan secara zahir. Aku faham itu, disebabkan itu aku tidak berani menyatakan, bersabarlah kawan kerana orang yang sedang menghadapi situasi itu sahaja faham bagaimana remuknya hatinya untuk menghadapi kenyataan ini, bagaimana rapuhnya diri ini untuk mencari kekuatan diri yangtelah hilang buat seketika.
Ayat Al-Insyirah:5-6, dua kali Allah mengulang perkataan yang sama bahawa setiap kesulitan pasti ada kemudahan. Ayat ini selalu bermain difikiranku setiap kali aku berada disituasi yang sangat lemah, berputus asa sehingga sukar untuk aku ungkapkan dengan kata-kata.
Aku tahu sabar itu tidak mudah. Bahkan aku sendiri tidak dapat menerima "ungkapan sabar" yang mudah untuk dibicarakan tapi perit untuk seseorang yang sedang menghadapinya. Jadi aku hanya mampu menyakinkan "aku" dan "kamu" bahawa semuanya tidak mudah tapi percayalah Allah akan mudahkannya nanti. Mungkin kita tidak nampak apa yang sedang Allah sediakan untuk kita dihadapan tetapi percayalah Allah takkan uji kita sesuatu di luar kemampuan kita. Dan ujian yang "aku" dan "kamu" sedang jalani sekarang tidak mampu dipikul oleh orang lain, kerana ujian ini Allah sudah customkan khas untuk kita, dan hanya kita yang mampu tetapi tidak orang lain.
Aku hanya nak cakap satu sahaja, untuk kamu yang sedang berjuang dengan perjalanan hidup ini, orang lain mungkin tidak tahu atau tidak akan pernah tahu bagaimana rapuhnya kamu dan patahnya kamu untuk berada di tahap ini. Tetapi tengoklah diri kamu sekarang, kamu sudah berada sejauh ini, kamu sudah sekuat ini dan kamu sudah menumbuh sebesar ini. Jadi teruskan perjalanan yang telah kamu mulakan sehingga kamu menemui noktahnya.

Comments
Post a Comment